Isnin, 1 Oktober 2018

KESAN KEKURANGAN 'FOLIC ASID' & KENCING MANIS PADA JANIN / BAYI

ARTIKEL DARI SEORANG PROF IMELDA BALCHIN

Anencephaly.
Dua kali terkejut !!

Otaknya sudah hancur di dalam kandungan ibunya tanpa perlindungan tengkorak yang tidak terbentuk.

Berat hati saya setiap kali menyampaikan berita kepada ibubapa yang janin di dalam kandungan mempunyai kecacatan yang membawa maut.

Tapi, memang berat lagi badan yang memikul. Macam tidak percaya bila kita lihat ada kecacatan yang seteruk ini. Janin ini akan terus membesar dan terus hidup di dalam kandungan, sebab ia menerima oxygen dan zat daripada uri ibunya sehingga bersalin. Selepas bersalin, tali pusatnya dipotong, dan sudah tiada lagi oxygen diterima daripada ibunya. Bayi ini akan meninggal dunia selepas bersalin sebab tidak mempunyai otak untuk mengawal pernafasannya, dan dia tidak akan bernafas sendiri.

Ada tiga punca mengapa tengkoraknya tiada, dan tidak pernah terbentuk dari awal hayatnya.

1. Tahap gula di dalam darah ibu yang tinggi (penyakit kencing manis) tidak terkawal, pada waktu permulaan kehamilan.
2. Kekurangan zat 'folic acid', sejenis vitamin, pada waktu permulaan kehamilan.
3. Kadang-kadang masalah di alam sekitar (environmental) yang tidak dapat dikesan.

Selalunya saya memberi nasihat kepada ibu yang sihat bagaimana mengelakkan kejadian ini. Ambil lah folic acid supplemen setiap hari selama 3 bulan sebelum hamil, dan teruskan folic acid bila hamil untuk tiga bulan yang pertama.

Jika anda membuat hubungan kelamin suami isteri tanpa menggunakan kaedah perancang keluarga, sila lah ambil folic acid setiap hari, sebab anda tidak boleh meramalkan bila masanya anda akan hamil.

Tapi zaman sekarang, obesiti dan penyakit kencing manis lebih berleluasa di kalangan masyarakat Malaysia, akibat kandungan gula yang tinggi dalam permakanan, memakan berlebihan dan kurang bersenam.

Kebelakangan ni setiap kali saya bertemu janin anencephaly ni, saya terus membuat kajian darah ibu dan mendapati semua ibu-ibu sudah pun ada penyakit kencing manis sebelum hamil lagi, tanpa pengetahuannya (undiagnosed diabetes).


DUA KALI TERKEJUT.


Pertama, bila mendapat tahu tentang kecacatan janinnya. Kedua, bila mendapat tahu tentang penyakit kencing manis (type 2 diabetes)

Bila ditanya adakah pernah mendapat kencing manis semasa kehamilan yang lepas (gestational diabetes), mereka semua menjawab

 "Ya doctor, dulu saya pernah ada penyakit kencing manis semasa hamil"

Bila ditanya lagi, selepas bersalin, ada tak berjumpa doktor semula untuk memastikan penyakit kencing manis sudah betul-betul pulih (gestational diabetes), dan adakan anda pastikan paras gula di dalam darah di tahap yang normal setiap tahun, sebelum hamil semula?

Jawapannya semua sama saja, "Tidak doktor"

Kesihatan kita adalah tanggungjawab kita sendiri. Kesihatan dan masa hadapan anak-anak kita juga tanggungjawab kita, dan tanggungjawab ini bermula dari sebelum hamil lagi.

Jika anda mempunyai penyakit kencing manis (type 1 atau type 2 diabetes), elakkan kehamilan dengan menggunakan kaedah perancang keluarga, sehingga penyakit kencing manis anda terkawal, seelok-eloknya kurangkan bacaan HbA1C ke tahap yang normal (< 6.5%) dan ambil lah folic acid (5mg sekali sehari) sekurang-kurangnya 3 bulan sebelum hamil.

Jika anda pernah mendapat gestational diabetes (penyakit kencing manis semasa hamil sahaja), anda mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat penyakit kencing manis di masa hadapan, jadi pastikan anda berjumpa dengan doktor untuk mengkaji paras gula di dalam darah 6 minggu selepas bersalin, dan ulang semula setiap tahun.

Insyallah, kita boleh mengelakkan anencephaly dan kecacatan janin yang lain disebabkan penyakit kencing manis. Allah menentukan, tetapi kita boleh cuba merancang dan berusaha. Dan ilmu itu sudah diberikan. Kalau boleh, kurangkanlah benda yang bagi kita terkejut-terkejut ni dalam menempuhi cabaran hidup kita.

--------------------------------------------------
Ini gambar dari internet. Tak sampai hati nak tunjuk gambar arwah patient saya, walaupun sudah diberikan kebenaran dari ibubapanya untuk tujuan pendidikan am.

Tambahan:
Kajian perubatan juga menunjukkan yang pengambilan folic acid oleh ibu hamil juga berkesan mengurangkan autism di kalangan anak-anak.

Bagi wanita yang bertahun-tahun mencuba dan masih belum lagi hamil, kajian menunjukkan tidak ada masalah kesihatan bagi wanita-wanita yang mengambil folic acid bertahun-tahun selagi tidak melebihi dos yang disarankan.

Dos yang disarankan ialah hanya 0.4mg sehari.

Untuk wanita yang mempunyai Diabetes atau pernah mendapat anak yang ada kecacatan NTD, dos yang disarankan ialah 5mg sehari.

Prof Dr Imelda,
Pakar Perunding Maternal dan Fetal Medicine,
Pusat Perubatan Universiti Malaya,
Kuala Lumpur.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Korang boleh tinggalkan komen @ pesanan di sini 😊